Jumaat, 28 Januari 2011
bab 1 ad + iz
AKU masih khusyuk di meja jahitku, langsung tak menghiraukan kereta yang lalu-lalang di luar cermin kaca butik. Baju kurung yang sudah hampir sempurna jahitannya, aku bawa dekat ke wajah.
"Adry!!!"
Suara Kak Timah meletup macam bom nuklear membuatkan jahitan tulang belut aku nyaris-nyaris bertukar jadi tulang ikan jaws! Tersasar dari tempat yang sepatutnya. Adoi! Haru betul la akak sorang ni. Kalau sehari tak menjerit tak sah. Dibuatnya macam latihan vokal pulak.
"Kenapa, kak?" soalku perlahan.
Dah petang-petang ni, bateri badan aku dah low….Sempat aku mengerling jam di dinding. Sepuluh minit lagi, masa kerjaku akan tamat. Katil di rumah sewa sudah terbayang di layar mata. Keseronokan dapat meluruskan segala tulang-temulang di atas katil sudah terasa-rasa.
"Puan Karen lupa bawak ni!"
Suara high pitch itu betul-betul mendarat di tepi telinga aku. Aku menggosok-gosok cuping telinga. Pekak la aku, kak oi!
Bila melihat tangan Kak Timah yang penuh dengan baju-baju lip lap-lip lap glamor tak ingat dunia dah tu, jantung kat dada aku rasa nak luruh. Mulut aku pun automatik ternganga.
"Baju fashion show! Puan Karen lupa bawak," rungut Kak Timah sambil membelek satu per satu pakaian yang elok berbungkus di dalam plastik.
Aku tepuk dahi. Biar betul? Ini sudah kira kes berat ni! Dari tak ada kerja, dah jadi ada kerja! Masak, masak….
Aku panjangkan leher, memerhati segenap ruang kedai. Kosong. Cuma ada aku dan Kak Timah sahaja di dalam butik ini. Aku mula rasa tak sedap hati. Hidung seakan dapat menghidu bau tak sedap yang bakal dihadapkan kepadaku. Puas mulut menghembus angin di kiri dan kanan, menolak bala beban kerja yang mungkin akan dihumbankan ke pundakku.
Jangan la… aku baru berangan nak balik awal. Dah seminggu kerja sampai tengah malam gara-gara nak siapkan baju-baju yang ditempah. Si Chot tu pulak sedap-sedap aje pergi honeymoon kat KwaZulu yang aku sendiri pun tak tahu wujud ke tidak tempat tu dalam peta dunia. Katanya seminggu, tapi ni dah masuk minggu ketiga. Dah sesat tak tahu jalan balik agaknya. Tak pasal-pasal aku terpaksa cover kerja-kerjanya yang tergendala.
Dan saat itulah aku teringat bahawasanya Suhaimi, budak despatch butik kami ambil cuti sakit hari ini.
"Adry, tolong hantarkan ke airport, ya! Akak rasa sempat lagi ni!"
Permintaan Kak Timah terasa bagaikan batu besar yang dihempap di atas kepalaku. Arahan tak bertulis Kak Timah merangkap orang yang diamanahkan oleh Puan Karen untuk menjaga butik, aku rasakan seperti hukuman mandatori: gantung sampai mati. Tak boleh tidak, mesti dipatuhi! Wajib!
Aku dah agak dah! Memang aku la yang kena pergi.
Budak-budak yang lain, Si Nini dan Sabariah, macam tau-tau aje ada ‘bala’ nak tiba, terus volunteer pergi rumah Datuk Wasil selepas makan tengah hari tadi. Kononnya nak tengok dan touch-up mana-mana patut sebelum majlis perkahwinan anak Datuk Wasil berlangsung esok. Padahal, masa aku pergi semalam, semuanya dah siap. Khemah dah tegak. Pelamin dah terhias cantik. Baju pengantin, bilik pengantin dan yang lain-lain semuanya dah tersedia. Tinggal langsungkan majlis aje. Kaki auta betul la budak-budak tu!
Dek kerana hormatkan Kak Timah selaku pekerja senior, aku sambut juga pakaian-pakaian yang dihulurkan. Muka yang pahit-pahit payau terpaksa aku maniskan. Punah-ranah harapanku nak balik awal hari ni!
Huh! Dari aku membebel, baik aku cepat-cepat hantar baju ni. Cepat hantar, cepat aku dapat balik. Kenderaan penuh sesak di jalan raya. Maklumlah, office hour baru sahaja tamat. Susah la nak dapat teksi macam ni, gerutu hatiku. Dah tiga kali tahan. Ketiga-tiga teksi ada penumpang. Aku dah terasa macam orang-orang aje kat tepi jalan ni. Terlambai-lambai dari tadi….
"Teksi!!!"
Dek kerana terlampau tension, aku menjerit sekuat hati.
Skreeet!!!
Ha, ambik kau! Tiga teksi berhenti mengejut kat depan aku. Cheh, rasa macam Lindsay Lohan dalam filem Just My Luck la pulak.
"KLIA, please!"
Dan teksi merah kuning itu terus meluncur laju sebaik sahaja aku meloloskan diri ke dalam perutnya.
LELAKI berusia hampir setengah abad itu masih tidak jemu-jemu memancing perhatianku dari tempat pemandu. Kenderaan yang bertali arus di lebuh raya langsung tak menghalangnya dari terus mencuri pandang wajahku. Tahulah aku ni gadis cantik yang kelihatan ayu bertudung. Tapi tak payahnya terteleng-teleng kepala tu!
"Apa nama cik adik ni? Tinggal kat mana? Boleh bagi nombor telefon kat abang?"
Abang? Yaiks!
Herot-berot mulut aku mendengar soalan pak cik teksi ni. Gatal tak kena tempat. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Dari tadi asyik menoleh ke belakang. Bukan nak tengok kereta yang ada kat belakang, tapi nak tengok aku! Agaknya kalau boleh tanggal biji mata tu, dah ditanggalkannya dan letak kat belakang kepala. Sekali tersondol kereta kat depan, padan muka! Cepat la sampai… tak kuasa aku nak layan kerenah pak cik bergigi jongang ni!
Jejak aje tayar teksi kat kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terus hidup nyawa aku. Aku terus keluar dari teksi. Baju-baju yang sudah dimasukkan oleh Kak Timah dalam beg aku angkut sekali.
Tengah aku tercangak-cangak mencari kelibat Puan Karen, mataku disajikan dengan drama sebabak antara seorang perempuan dengan seorang mamat ni. Pakwe dia kut. Yang perempuan tu punyalah cun, badan ala-ala model. Kalau orang kelentong aku cakap dia Miss Universe pun, aku percaya. Tapi mamat tu pulak chubby, misai dan jambang penuh kat muka. Itu tak cerita lagi bab baju yang dia pakai. T-shirt warna putih tu yang dah lusuh dan penuh dengan minyak hitam, berseluar jeans koyak sana-sini dan pakai selipar jepun aje. Pergh! Serabut betul mamat ni! Tak padan langsung dengan awek dia. Ibarat langit dengan bumi!
Hah… tu dia! Dia dah buat adegan tarik tangan dan bagasi si awek tu pulak. Si awek tu buat muka marah. Yang mamat tu pula buat muka bengang. Dua-dua bermuka tegang. Best ni! Silap-silap ada adegan menangis dan sesi melutut merayu pulak nanti. Ha ha ha… aku gelak dalam hati.
Suara lemak merdu announcer KLIA membuatkan aku menepuk dahi. Ya Allah! Macam mana aku boleh lupa tujuan aku ke mari? Mataku kembali meliar mencari susuk tubuh Puan Karen. Takkan dah masuk balai berlepas kut? Kalau ikut logiknya, dah memang dia kena ada kat situ sekarang. Flight dia akan berlepas bila-bila masa aje kalau ikutkan pengumuman tadi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan