Jumaat, 28 Januari 2011
sambungan bab 1 ad + iz
AIR MINERAL sejuk dalam gelas aku teguk sehingga habis. Kak Timah masih bercerita tentang rasa tidak puas hatinya terhadap salah seorang pelanggan kami.
"Ya Allah, Adry… akak betul-betul minta maaf sebab terpaksa susahkan Adry lagi. Masa akak lalu kat bilik Puan Karen, baru akak teringat pesanan Puan Karen sebelum dia pergi KLIA tadi. Dua tiga hari lepas customer ni cakap nak ambil sendiri. Pagi tadi, tiba-tiba pelanggan tu minta Puan Karen hantar baju-baju tu ke rumah kekasihnya. Dah la tu, siap marah-marah lagi. Adry tolong hantarkan, ek? Tolong akak, ek…."
Bila terpandangkan perut Kak Timah yang memboyot ke depan tu, nilai-nilai murni dalam diri aku mula timbul. Takkan aku nak biarkan Kak Timah yang sarat mengandung tujuh bulan berkejar ke rumah Tengku tu. Terberanak pulak akak aku yang sorang ni nanti!
Masa semakin suntuk. Kurang sejam sahaja dari masa yang dijanjikan. Nak tak nak terpaksa la aku menjejakkan kaki ke banglo bertaraf istana tu, menghantar tiga pasang baju yang ditempah. Sepasang night dress labuh, sepasang kebaya pendek warna putih dan sepasang kurung moden. Harga setiap satu aku sendiri kurang pasti berapa ribu. Tengok kain aje dah tau dah, kain jenis mahal. Tentulah harganya pun mahal.
Orang yang tempah baju ni pun satu, ambil sendiri tak boleh ke? Masa tempah tahu datang ke butik. Tup tup… bila dah siap, suruh kami hantar pulak. Dah la penat berkejar ke KLIA tadi tak habis lagi. Aku tak kira, aku nak paksa Puan Karen bayar triple untuk gaji hari ni lepas Puan Karen balik dari Thailand nanti. Ni dah kira ‘over-over’ time ni! omelku di dalam hati.
Dalam pada itu, pintu pagar dan pintu rumah dibuka. Sebelum orang gaji rumah besar tu sempat berkata apa-apa, seorang lelaki menerpa ke arahku.
"Akhirnya… datang juga you. Masuk! Kita dah tak ada banyak masa!"
Kita? Masa? Baru aje aku nak buka mulut, tanganku segera ditarik masuk. Dan pintu ditutup. Ooo…ooo….
"SAKITLAH! Awak ni nak bunuh saya ke apa?" jeritku lantang.
Lelaki lembut itu segera menjarakkan badannya.
"Honey, tak ada orang mati sebab cabut kening la. You duduk aje la diam-diam," katanya dalam nada lembut.
"Habis tu, dah sakit. Takkan nak diam aje? Saya ni bukan robot, tau!"
"I tell you what, untuk jadi cantik you kena la tahan sakit sikit. Takkan you tak nak ‘impress’kan your future-in-laws?"
Future what? Melongo mulutku mendengar. "Encik Lembut…"
"Nama I Che Nan la… bukan Encik Lembut, okey?" pintasnya. Tangannya mula beralih pada peti make-up yang bertingkat-tingkat macam rumah pangsa tu.
"Okey, Che Nan… mula-mula saya nak tanya, kenapa saya kena make-up, grooming bagai ni? Saya ke sini cuma nak hantar baju aje."
Mengilai Che Nan tergelak.
Dua orang perempuan merangkap pembantu Che Nan pun bantai sekali gelak.
Aku buat lawak ke? Dalam pada itu, tangan Che Nan ligat ‘menconteng’ warna di wajahku.
"Sayang, you ni nak buat lawak ke apa? Ke you ada temporary amnesia? Malam nikan you ada sesi berkenalan dengan keluarga bakal tunang you?"
Tunang?
"Well, at least itu yang diberitahu oleh Ku Makmur tadi...."
Sempat telingaku menangkap suara Che Nan menyambung ayatnya tadi.
Aku kerut muka. Aku? Nak bertunang? Biar betul? Kawan lelaki aku tak ramai, steady boyfriend langsung tak ada, macam mana pulak aku nak bertunang? Tak masuk akal betul semua ni! Satu-satunya yang aku pasti, Che Nan dah salah faham tentang kehadiran aku di sini. "Saya rasa ada salah faham kat sini. Saya tak kenal pun siapa bos awak. Saya cuma pekerja butik. Dan saya ke sini sebab nak hantar baju-baju tu aje."
Che Nan melentokkan kepalanya ke bahuku. Tudung di kepalaku yang sudah pun ditukar dengan tudung yang dibawa oleh pembantu Che Nan tadi, dibetul-betulkannya.
"Pekerja butik? Hmmm… you memang pandai berlakon. Sebab tu la paparazi Malaysia tak dapat kesan hubungan you dengan Ku. Whatever la! I tau, you ni mesti tengah gabra sebab nak jumpa keluarga bakal mertua, kan? Tu yang cakap pun merepek-repek. It’s okay! I pernah jumpa lagi teruk dari you."
"Tapi saya…"
"Okey, dah siap! Sekarang you boleh tengok cermin."
Aku tengok cermin di meja solek. Ya Allah, apa dah jadi dengan muka aku ni? Merah sana, biru sini. Hmmm… memang muka aku nampak lain. Bila tengok lama-lama, baru la aku sedar sesuatu. Cantik jugak aku ni, ek? Tak pucat lesi dan serabai (selekeh) macam selalu. Isk, betul ke aku ni?
"Betul ke saya ni?" tanyaku pada Che Nan.
"Kenapa? Tak cantik ke Che Nan solek?" balas Che Nan sambil bercekak pinggang.
Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi suara seseorang di luar bilik. Kalut la sekejap kami semua.
Beberapa saat kemudian, pintu bilik dibuka.
"Ku…" seru Che Nan manja pada lelaki yang menerpa masuk.
Hmmm… ni agaknya bos dia. Kelatnya muka! Lengan lelaki ‘terlebih lemak’ tu dikepitnya erat lalu dibawanya menghampiriku. Rasa-rasa macam kenal aje lelaki ni. Eh, bukan ke ni lelaki marathon kat KLIA tadi?
"Siapa perempuan ni?" soalnya kasar.
Tangan Che Nan yang melingkar di lengannya segera ditepis.
Che Nan tarik muka. Merajuk la tu! Bibirnya yang merah menyala tu dimuncungkan.
Cuma ada tiga orang perempuan aje kat dalam bilik ni termasuk aku. Tapi rasanya ‘pompuan’ yang dimaksudkan tu adalah... aku! Sebab mata dia asyik pandang aku. Perempuan dia panggil aku? Hek eleh, cantiknya bahasa!
"Your future fiancée la. Cantik sangat ke I solek sampai you dah tak kenal girlfriend you ni lagi…" jawab Che Nan dengan nada ala-ala merajuk manja.
Lelaki tu pandang aku atas bawah. Kemudian aku tengok mukanya berkerut-kerut. Huh, huduhnya (hodohnya) muka!
"Che Nan, aku nak cakap dengan perempuan ni kejap! Kami berdua aje…" ujarnya setelah selesai ‘menelaah’ aku.
Che Nan segera faham dengan arahan bosnya. Dua orang pembantunya digamit keluar.
Mata lelaki itu terus mengawasi Che Nan dan para pembantunya keluar. Sebaik sahaja pintu bilik tu tertutup, barulah dia memandangku semula.
"You must be the ‘woman’ or should I say the brave and crazy ‘woman’. The one and only woman who dares to take this absurd, childish, idiot job! For your information, I don’t like role play. I prefer real play. As long as you can do whatever I say, I will pay you triple as compared to the agreement that you have signed before!"
Aku melopong. Apa yang dia cakap ni? Role play? Agreement? Dari muka dan warna kulitnya aku tau dia ni bukan Melayu tulen tapi takkan tak boleh cakap bahasa Melayu kut? Elok aje dia cakap bahasa Melayu dengan Che Nan tadi. Ini mesti kes nak berlagak la ni!
"Encik ni cakap BM tak boleh ke? Masa SPM dulu failed BM ke?" perliku.
"Kenapa? Awak tak faham ke?" sindirnya pula.
Hah, kan boleh cakap Melayu tu!
"Tak!"
"Ridiculous! She could do better than this…" rungutnya kuat.
She? Siapa pulak tu?
"Oit! Meraban (merepek) apa pulak lagi ni?" perliku, sengaja mengenakannya.
"Okey, cik what-ever-your-name-is… saya akan bayar awak tiga kali ganda atau lebih daripada apa yang perempuan gila tu dah bayar pada awak. Dengan syarat awak ikut aje semua arahan saya. Dan mainkan peranan awak sebaik mungkin. Kalau boleh saya tak nak ada kesilapan. Saya nak lakonan yang real!"
Perempuan gila mana pulak ni? Puan Karen ke yang dia maksudkan? Ish… memang la Puan Karen tu gila sikit, gila perfect! Tapi itu dikira gila macam orang sakit mental jugak ke? Lelaki ni kenal Puan Karen ke? Datang butik pun tak pernah rasanya. Macam mana dia boleh kenal pulak? Peliknya….
"Peranan?" soalku. Dagu aku gosok-gosok dengan jari telunjuk.
"Hmmm… buat-buat tak faham pulak! Jadi kekasih saya untuk malam ni sahaja. Ingat! Saya tak nak sorang pun curiga atau tahu yang awak bukan kekasih saya. Saya tak nak awak malukan keluarga saya. Habis aje malam ni, kita boleh kembali macam sebelum ni; stranger a.k.a. orang asing yang saling tidak mengenali."
Ceh, siap tekankan lagi perkataan ‘sahaja’ tu!
"Entah malaun mana entah dok sebarkan cerita kata aku nak bawak awek. Sengal betul!"
Lelaki itu merungut sendirian. Memang sah lelaki ni yang gila!
"Encik ni gila la," ujarku spontan. Dah memang gila pun permintaannya.
"Kawan awak tu lagi gila! Tergamak dia buat saya macam ni! Rasa macam tak berharga satu sen pun!" bentaknya keras. Dia mula mundar-mandir di sekitar bilik.
Betullah… aku rasa lelaki ni tak gila tapi tiga suku atau pun setengah tiang. Ya Allah, kenapa aku harus terlibat dengan kegilaan orang ni? Sebelum aku terlibat dengan kegilaannya dan menjadi betul-betul sewel, lebih baik aku keluar aje dari sini. "Encik, saya ni sebenarnya…."
"Saya bagi awak masa tiga minit aje! Awak fikir la sama ada awak nak teruskan atau tidak. Kalau awak setuju... RM10,000.00 saya akan transferkan ke akaun awak sekarang ni juga. Baki lagi RM20,000.00 saya akan transfer selepas kerja awak selesai."
Aku kurang pasti dengan bentuk urus niaga yang cuba dijalankan dengan aku ni. Tapi yang pastinya otak aku mula mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku di rumah minggu lepas. Adry, mungkin inilah caranya! Cara terbaik untuk membalas jasa, cara untuk menyelamatkan nyawa!
"Macam mana?"
"Saya setuju!" ujarku penuh yakin.
"Good!"
Dia meluru ke notebook yang sedia terpasang di sudut bilik. Menekan-nekan papan kekunci dan kemudian bertanyakan nombor akaunku. Beberapa minit kemudian, dia menghulurkan notebook itu kepadaku. Jarinya menunjukkan sesuatu di skrin. Wow! Dalam sekelip mata akaun aku dah ada RM10,021.72! Lumayan!
"Puas hati?"
Aku angguk kepala. Siapa tak suka bila dapat duit? Orang gila pun suka.
"So, kita jumpa kat bawah dalam masa sepuluh minit lagi. See ya!"
AKU masih berdiri di anak tangga. Mana malaun ni? Tadi kata nak tunggu kat sini. Aku dah tercangak-cangak kat sini macam orang tak betul aje. Pembantu-pembantu rumah dah pandang semacam aje kat aku. Dah la aku tak kenal sorang pun kat sini. Lelaki tu pun aku tak kenal jugak. Tapi at least aku dah borak-borak dengan dia tadi. Che Nan dan pembantu-pembantu dia pun dah lesap entah ke mana. Alah… menyesal pulak aku setuju dengan idea gila lelaki tu. Kan elok kalau aku tolak tadi. Dah tentu-tentu sekarang aku dah ada kat rumah makan mi Maggie asam laksa. Pergh!
Sempat lagi tak kalau aku nak tarik diri? Lelaki tu tak ada. Lagipun sorang pun tak tau ‘urus niaga’ yang kami jalankan. Tapi duit RM10,000.00 dah masuk dalam akaun aku. Problem betullah!
"Hai! Dah lama tunggu?"
Lelaki lengkap ber‘tuxedo’ tu terpacak di sisiku. Aku pandang lama dengan dahi yang berkerut. Siapa pulak mamat ni? "Aaa… awak ni siapa?"
Lelaki itu tersengih tak percaya. "Ler... (la…) bos awak la! Jom buat grand entrance!"
Bos? Eh, ni lelaki tadi tu ke? Ye kut. Mata dia sama. Cuma lelaki ni dah tak selekeh macam tadi. Dia dah buang segala misai, janggut, jambang semua. Bila dah buang semua nampak macam… errr... siapa ek? Tak ingat! Apa pun, boleh tahan juga muka dia ni! Aku tersengih sorang-sorang.
"Bagus! Saya nak awak senyum macam tu sepanjang majlis nanti. Ingat, semua soalan biar saya yang jawab. Kalau saya bagi signal, baru awak boleh jawab," arahnya.
Lengannya dihulurkan. Minta dipaut. Aku akur. Berlapik. Tak apa. Dan kami terus melangkah masuk ke ruang utama sebaik sahaja pintu dibuka oleh pembantu rumah.
Seorang lelaki kemas berkot hitam menghampiri kami. Bahu lelaki di sebelahku ditepuknya beberapa kali. Senyuman sinis dilontarkan ke arah kami. Lelaki ni... macam aku pernah nampak....
"Aril... semua orang heboh bercakap tentang kau dan bakal isteri kau. Aku ingatkan cerita tu sekadar khabar angin. Tapi nampaknya aku silap. So, this must be…."
Lelaki berkot warna hitam itu tidak terus menyambung kata-katanya. Hanya matanya yang melekat pada wajahku.
"Your girl... errr... Miss Prejudice?"
Bulat mata kami memandang antara satu sama lain.
"Mr. Charity?" Soalku dengan muka yang pelik.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan